Sunday, September 23, 2007

Industri Muzik Malaysia; ke mana arah selepas ini?

Hidup tanpa hiburan bagai hidup tanpa senyuman dan ketawa. Sepi, sunyi dan statik. Lewat 5 tahun kebelakangan ini, industri muzik negara mengalami perubahan yang mendadak. Kebanjiran penyanyi-penyanyi muda bukan saja menghiasi malah memberikan rentak baru kepada irama muzik malaysia. Akademi Fantasia, Mentor dan beberapa rancangan realiti hiburan memenuhi slot program di televisyen. Konsert-konsert seperti Jom Heboh dan program di TV1 juga menampilkan artis-artis yang tidak kurang hebatnya.

Aku dapat rasakan yang irama melayu sudah tidak mendapat tempat di hati pendengar. Hanya beberapa kerat sahaja lagu melayu yang masih kedengaran. Lagu-lagu nasyid juga semakin terpinggir, dengan pemuzik yang tidak dapat menghasilkan karya-karya yang lebih dinamik, sesuai dengan perubahan selera pendengar dan peminat aliran muzik ini. Hanya yang kedengaran adalah lagu-lagu pop,rock atau balada serta hip-hop yang dipasang di stesyen radio. Apa yang merisaukan adalah kemasukan banyak lagu-lagu dari luar negara yang bertakhta di hati pendengar; terutamanya lagu Indonesia. Bukan aku katakan yang lagu dari luar ini tidak bagus tetapi sokonglah juga lagu-lagu tempatan.

Pihak penerbit dan komposer perlulah lebih sensitif dan menghasilkan karya-karya yang lebih berkualiti. Nampaknya muzik malaysia semakin kehilangan identiti. Ke manakah hilangnya penyanyi dan penerbit lagu-lagu Irama Melayu?. Kita akan kehilangan warisan jika lagu-lagu Melayu tidak lagi dihasilkan. Karya-karya tempatan yang berunsur pop, rock dan juga yang sewaktu dengannya juga tidak mempunyai kualiti yang mantap. Walaupun sesetengah karya tempatan mempunyai keunikan, vokal yang menyanyikannya tidak baik.

Namun tidak dapat dinafikan ada juga perubahan yang baik pada industri muzik tempatan. Ada juga band-band yang kreatif menghasilkan lagu-lagu yang lebih universal dan sedap didengar. Penyanyi-penyanyi malaysia mampu pergi lebih jauh jika menghasilkan karya yang lebih bermutu tinggi.

Hmmm..mungkin lepas ni nak tulis dalam english pulak la. Nak improve english. Kesimpulannya, support malaysian music.

No comments: